Menu
Falsafah India Vaiśeṣika DarśanaVaiśeṣika Darśana diasaskan oleh Kaṅāda (juga dikenali sebagai Ulūka). Maka, falsafah ini juga dikenali sebagai Kāṅāda atau Aulūkya Darśana. Nampaknya Kaṅāda ialah nama timangan Ulūka kerana beliau menjalani kehidupan rahib. Beliau menyara hidup dengan memakan kaṇa atau bijirin yang dipungut dari sawah (kaṇa = bijiran; ad = memakan).
Kitab utama falsafah ini ialah Vaiśeṣika Sūtras oleh Kaṅāda. Kitab ini dibahagikan kepada sepuluh bab atau adhyāya dan setiap adhyāya mengandungi dua āhnika atau seksyen. Keseluruhannya terdapat 374 sūtra.
Eksposisi awal kitab ini ialah Padārtha-dharma-sangraha oleh Praśastapāda (kurun ke-5 Masihi). Meskipun buku ini dikenali sebagai Bhāṣya, ia bukan ulasan biasa untuk setiap sūtra teks asal. Bhāṣya ini menegaskan prinsip dalam sūtra asal dan juga mengembangkan lagi prinsip itu. Antara ulasan-ulasan popular Praśastapāda ialah Nyāyakandalī oleh Śrīdhara (991 Masihi), Vyomavatī oleh Vyomaśiva dan Kiraṇāvalī oleh Udayana (984 Masihi). Dua ringkasan utama sistem ini ialah Nyāyalīlāvatī dan Lakṣanāvalī oleh Udayana.
Dengan peredaran masa, sistem Vaiśeṣika sering dikaitkan dengan sistem Nyāya sehingga penulis-penulis kemudian mula melihat kedua-duanya sebagai satu sistem tunggal. Antara hasil penulisan begini ini ialah Saptapadārthī oleh Śivāditya (kurun ke-10 Masihi) dan Bhāṣāpariccheda oleh Viśvanātha (1650 Masihi) dengan ulasannya sendiri, Siddhāntamuktāvalī.
Mazhab Vaiśeṣika mempunyai tujuh padārtha atau kategori-kategori realiti. Padārtha bermaksud 'apa yang dimaksudkan dengan satu perkataan', suatu objek ilmu. Semua objek boleh dibahagikan kepada dua kelas: bhāva (hidupan) dan abhāva (bukan hidup). Bhāva merujuk kepada semua realiti positif yang wujud dan abhāva merujuk kepada fakta negatif (Vaiśeṣika Sūtras 1.1.14). Terdapat tujuh padārtha iaitu: dravya (bahan), guṇa (kualiti), karma (tindakan), sāmānya (umum), viśeṣa (khusus), samavāya (perhubungan), dan abhāva (ketidakwujudan).
Dravya ialah bahan yang mengandungi guṇa (kualiti) dan karma (tindakan). Dravya merupakan asas untuk guṇa dan karma. Terdapat sembilan jenis dravya iaitu: empat unsur-unsur - bumi (pṛthvī, air (jala), cahaya (tejas) dan udara (vāyu); angkasa (ākāśa), masa (kāla), ruang (dik), roh (Ātman) dan minda (manas). Semua ini adalah abadi. Empat unsur-unsur wujud dalam bentuk pramāṇus (atom) sebelum ciptaan. Ākāśa, kāla, dik dan Ātman adalah meliputi segala-galanya. Manas pula adalah aṇu atau bersaiz atom.
Mazhab Vaiśeṣika menerima dua jenis roh : Jīvātman dan Paramātman (juga dikenali sebagai Īśvara atau Maheśvara). Jumlah Jīvātman adalah tidak terkira sementara Paramātman pula hanya satu.
Guṇa atau sifat sering bergantung kepada dravya atau bahan untuk kewujudannya. Menurut sistem ini terdapat 24 guṇa. Antaranya ialah lima sifat organ-organ deria, buddhi (kognitif), sukha dan duḥkha (suka dan duka), icchā dan dveṣa (keinginan dan kebencian), saṁskāra (kecenderungan), dharma dan adharma (pahala dan dosa).
Menurut mazhab ini, Karma atau tindakan ialah suatu pergerakan fizikal. Tindakan dibahagikan kepada lima kumpulan seperti utkṣepana (melontar ke atas) dan ākuñcana (pengecutan). Tindakan boleh dilihat dan disentuh. Manas atau minda juga dikatakan bergerak meskipun pergerakannya tidak boleh dilihat.
Mazhab Vaiśeṣika menerima kewujudan Tuhan yang dikenali sebagai Īśvara atau Maheśvara. Menurut mazhab ini, Tuhan Yang Maha Mengetahui dengan kehendak dan arahan-Nya mencipta, memelihara dan memusnahkan dunia ini.
Dunia ini merupakan suatu sistem benda-benda hidup dan benda-benda material yang berinteraksi antara satu sama lain. Aturan moral atau hukum karma sebenarnya mengawal perjalanan dunia yang menentukan destinasi hidup setiap jiwa. Maka, ciptaan bukan sesuatu yang rawak, tetapi rancangan terperinci Tuhan.
Titik permulaan ciptaan (yang diikuti dengan pemeliharaan dan pemusnahan) ialah kehendak Tuhan. Dengan kehendak-Nya, Brahmā atau Roh Dunia dicipta. Brahmā memiliki enam sifat-sifat terpuji seperti jñāna, vairāgya dan aiśvarya (ilmu, pelepasan, semangat tersisih dan keserian). Brahmā merupakan pencipta yang mencipta menurut jumlah adṛṣṭa (dosa dan pahala yang tidak boleh dilihat) setiap jiwa. Ciptaan berlaku apabila Brahmā menggerak paramāṇu atau atom-atom bergabung dan akhirnya membentuk dunia.
Proses pemusnahan pula berlaku secara terbalik. Brahmā meninggalkan jasadnya. Maheśvara kemudian menyebabkan pemusnahan atau pralaya. Selepas proses ini, seluruh alam kembali kepada keadaan asalnya iaitu sebagai tujuh padārtha.
Menu
Falsafah India Vaiśeṣika DarśanaBerkaitan
Falsafah Falsafah India Falsafah Vedanta Falsafah Pendidikan Malaysia Falsafah Barat Falsafah perubatan Falsafah pendidikan Falsafah sains Falsafah sejarah Falsafah Politik Pembangunan SarawakRujukan
WikiPedia: Falsafah India